Saturday, May 8, 2010

Syura : Perisai Perpecahan Ummat

Satu pihak berkata

"Kami inginkan kesatuan dalam perjuangan!"

Satu pihak lagi berkata

"Tidak mengapa kita berpecah, matlamat kita tetap sama, cuma wasilah berbeza"

Kedua-dua kenyataan ini betul jika dibaca sekali imbas juga bermakna kedua-duanya mampu membawa ke arah kebaikan dan kemenangan.

Jika dua idea ini timbul dalam satu mesyuarat, tidak mengapa, bahkan bagus kerana itu dapat membentuk pemikiran dinamik dalam ahli satu-satu gerakan agar tidak melahirkan ahli yang hanya bersikap seperti lembu yang hanya menuruti setiap arahan tuannya. Dinamika ahli itulah yang penting dalam mencambahkan lagi idea-idea yang membawa satu-satu gerakan untuk bergerak maju dan berdaya saing di pentas perjuangannya. tidak hairanlah bila firman Allah s.w.t menganjurkan adanya satu perbincangan mesyuarat dalam mencapai keputusan.


Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan salat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan Musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (As-Syura - 38)

Sirah Rasul s.a.w tercinta juga banyak sekali mengisahkan tentang mesyuarat yang dilaksanakan oleh Nabi s.a.w. Semasa pra-perang Uhud. Satu mesyuarat diadakan bagi membincangkan cara tentera Muslimin untuk berhadapan dengan tentera  Musyrikin Quraisy yang dahagakan pembalasan di medan Badar. ketika Nabi s.a.w mencadangkan kaum Muslimin untuk berkubu di Madinah, namun para sahabat mahu mereka berhadapan dengan kaum musyrikin di luar Madinah. hasilnya dinukilkan pena sejarah dengan peperangan berlaku di  medan Uhud. begitu juga Sirah mencatatkan cadangan Salman Al-Farisi, dipersetujui dalam mesyuarat antara Nabi s.a.w dan sahabat-sahabat, untuk menggali parit sebagai benteng dari menghadapi pasukan Ahzab yang dibentuk oleh kaum Quraisy Makkah, kabilah-kabilah arab, yahudi Bani Nadhir dan Munafiq yang bersatu di bawah panji Taghut dalam menghancurkan Islam.

Namun, pencambahan idea ini tidak pula dilihat membawa kepada satu perpecahan, kerana berlainan dan kepelbagaian idea yang timbul itu adalah perkara lumrah kerana cara berfikir manusia yang berbeza mengikut pendapat dan pengalaman masing-masing. Apa yang penting adalah, ketika satu keputusan dipersetujui, seluruh ahli harus dan wajib menerimanya sebagai satu perkara yang diputuskan dan wajib dilaksanakan, walaupun ada yang berpendapat idea dan cadangan mereka lebih baik. sepertimana Rasulullah s.a.w juga bersetuju untuk keluar berperang semasa perang Uhud walaupun baginda sendiri mencadangkan untuk bertahan di Madinah.

Apa yang dapat dilihat di sini ialah, kesatuan dalam gerak kerja amat penting kerana dalam kesatuan itu wujud kekuatan perpaduan yang utuh dalam kalangan ahli gerakan. Perbezaan pendapat yang berlaku adalah lumrah tetapi yang penting adalah kesatuan bilamana satu keputusan diputuskan oleh mesyuarat ataupun syura. keputusan itulah yang akan dilaksanakan. Atas dasar menyatukan kekuatan inilah Hasan Al-Banna memperkenalkan konsep wehdatul fikr wehdatul amal dalam konsep perjuangan islam secara berjamaah. konsep penyatuan fikrah dan amal ini bakal membuahkan satu kekuatan mapan dalam melaksanakan amal islami bermekanismakan keputusan yang diputuskan syura.

Tatkala perbezaan pendapat yang wujud tidak diberi kata putus. maka timbullah perpecahan atas nama wadah berbeza, baik di dalam mahupun luar, satu-satu gerakan islam. Maka alasan bersatu atas dasar wadah berbeza bermatlamatkan yang sama hanya akan terus menerus menjadi khayalan yang hanya akan menyaksikan perpecahan untuk terus menerus berlaku tanpa kesudahan.

Alasan untuk bersatu hanya akan jadi mimpi, selagi mana jamaah-jamaah islam yang wujud tidak duduk semeja, berbincang, dan mencapai satu kata putus terbaik, ke arah mana ummat islam patut dipacu.

" Kita bersikap berlapang dada sahajalah"

Jalan terakhir adalah membina empangan untuk menyekat kuatnya gelombang perpecahan yang timbul. Semoga empangan berlapang dada ini tidak pecah dan melimpahkan gelombang kehancuran ke atas ummat islam kini. Allahu Musta'an.

No comments: