Sunday, May 29, 2011

Parlimen Mahasiswa - pandangan dan persoalan

Salam Perjuangan Mahasiswa,

Alhamdulillah, syukur yang tak terhingga dirafa'kan ke hadrat ilahi, diberi lagi peluang dan buah fikiran untuk diketengahkan dalam post kali ini

19 Mei yang lalu, saya dan beberapa orang rakan telah menghadiri Konvensyen Pembentukan Parlimen Mahasiswa anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di mana Universiti Sains Malaysia dipilih menjadi tuan rumah. layaklah kiranya mereka menjadi tuan rumah kerana USM merupakan universiti pertama yang telah membentuk parlimen mahasiswanya yang diberi nama Dewan Perundingan Pelajar (DPP). Idea asalnya hadir dari tahun 2003 lagi, didatangkan oleh Naib Canselor USM , Tan Sri Zulkifli Abd Razak. Idea ini mengambil masa selama hampir 6 tahun sebelum disambut oleh YDP MPP USM sesi 2008/2009, Sdr Muhammad Syafiq bin abd Aziz. sehinggalah DPP USM tertubuh secara rasminya pada tahun lepas.

Begitulah sedikit sebanyak rentetan sejarah penubuhan DPP USM.

Melihatkan Parlimen mahasiswa ini mampu dijadikan wadah untuk suara mahasiswa lebih didengari (refer kenyataan Dato' Saifudin Abdullah), Kementerian Pengajian tinggi, malah Dato' Khalid Nordin selaku Menteri Pengajian Tinggi juga menggalakkan agar setiap universiti awam mempunyai parlimen mahasiswanya mengikut acuan tersendiri agar parlimen yang ditubuhkan adalah bersifat waqi'e dengan situasi kampus masing-masing. Mengikut Prof Omar Osman, selaku Timb. Naib Canselor USM, penubuhan parlimen mahasiswa ini hanya dapat dijayakan bila ekosistem universiti tersebut mampu menerimanya dengan baik. Ekosistem yang disebut terdiri daripada komuniti mahasiswa sendiri dan juga pihak Hal Ehwal Pelajar di kampus masing-masing.

Maka, selepas tamat program tersebut, kami ingin tahu bagaimana respon mahasiswa terhadap penubuhan parlimen ini. Melihatkan respon yang diberi dalam status facebook YDP USIM, Sdr Ibrahim Husin dan respon terhadap artikel beliau, Alhamdulillah, mahasiswa USIM mempunyai sisi pandang mereka tersendiri an saya kira unik bila ada yang setuju dan ada yang tidak setuju. Bagi saya, Ini membuktikan mahasiswa USIM bukanlah mahasiswa yang hanya bersifat dengar dan patuh tanpa berfikir, akal mereka juga kritis dalam menilai masalah dan cadangan-cadangan baru yang terbit. Saya membayangkan perbahasan ilmiah yang sarat dengan fakta dan buah fikiran tentang isu dalam dan luar kampus, bahkan, dalam dan luar negara yang hangat jika benar, parlimen mahasiswa ini akan diwujudkan di USIM.

Mohon untuk saya utarakan pandangan saya, bermula dari nama parlimen mahasiswa itu sendiri, saya tidak menafikan jika ada yang mempertikaikan nama 'Parlimen' yang digunakan memandangkan Parlimen di mata kita mempunyai kuasa menentukan dasar dan mempunyai kuasa legislatif untuk merangka undang-undang. Bahkan di USM sendiri nama parlimen tidak digunakan. saya tidak mahu bercerita panjang mengenai konsep dan tujuan parlimen itu ditubuhkan memandangkan sahabat atau 'boss' saya sudah menerangkannya dalam artikel beliau dalam blog Majlis Perwakilan Pelajar

Dari perbincangan kami, penubuhan parlimen ini mampu mebina kesatuan kepimpinan di kampus, melihatkan status quo sekarang yang mana berlaku banyak masalah berkaitan salah faham antara mahasiswa yang memegang tampuk kepimpinan yang saling menyalahkan satu sama lain bahawa satu pihak itu tidak amanah dengan tugas mereka. sedangkan salah faham ini sebenarnya berpunca bilamana pihak A sebagai contoh, tidak mengetahui apa yang pihak B sudah lakukan dan usahakan untuk menyelesaikan masalah mereka. Krisis salah faham yang timbul akhirnya menimbulkan ketidakpercayaan dan banyak isu-isu pelajar tidak diketengahkan kerana masing-masing kononnya 'redha' dan pasrah dengan apa yang terjadi(kata lainnya putus asa untuk mengetengahkan isu mahasiswa USIM).

Kami sejujurnya mengharapkan penubuhan parlimen mahasiswa ini tidaklah sekadar menjadi satu medan berpencak bahas antara mahasiswa. Tetapi saya, dan saya pasti majoriti mahasiswa lebih mengharapkan segala usul yang diterima dewan membuahkan tindakan dari pihak berwajib, tidak kiralah samada dari pihak HEPA, pihak Majlis Perbandaran, dan sebagainya. Saya yakin, melihatkan kemampuan mahasiswa kita berbahas dan melontarkan pendapat, parlimen mahasiswa ini mampu 'bergegar', cumanya jika gegaran itu sekadar di dewan, hal itulah yang menjadi kerunsingan.

Sejauh manakah pihak berwajib mahu menawarkan telinga untuk mendengar suara mahasiswa USIM? bertindak selaras dengan usul yang disepakati oleh mahasiswa ketika persidangan?

Sejauh manakah mahasiswa mahu suara mereka membuahkan hasil? dan menyahut cabaran untuk berhujah ilmiah secara berdepan? mengenepikan soal emosi untuk membina diri supaya berhujah dengan lebih matang?

Kesemua persoalan itulah akhirnya yang menjadi titik persoalan utama, yang menentukan samada relevan atau tidak penubuhan parlimen ini di USIM.


p/s: saya amat menghargai idea sahabat semua, benarlah seribu otak itu mampu menggegarkan dunia :), satu otak yang bersalut ego, pasti akan luluh ditelan masa

** post pertama sejak bergelar nydp 1, Allahu Musta'an..

No comments: