Sunday, May 29, 2011

Seuntai Kata Untuk Dirasa buat Adik-Adik Tamhidi Sesi 2011/2012

Salam kemahasiswaan,

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dirafa’kan, ke hadrat Allah s.w.t, Zat yang menciptakan langit dan bumi dan segala isinya. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, Ahlul Bayt, sahabat-sahabat dan para tabien yang memperjuangkan agama Allah ini, biarpun perjuangan mereka itu sarat dengan keperitan dan pengorbanan ,namun, mereka tetap istiqamah, sehinggalah kini dapat kita mengecap kemanisan iman dan islam yang kian tersemat subur di dalam sanubari kita.

Sejujurnya, saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama kalian sepanjang waktu pendaftaran ini kerana saya dan YDP MPP, Sdr Ibrahim Husin Ibrahim perlu mewakili USIM dalam Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan. Namun, saya yakin dan percaya sahabat semua pasti penuh bersemangat dan teruja untuk memulakan episod baru kehidupan, tambahan lagi bagi mereka yang pertama kali sampai ke USIM Nilai. Suasana tersebut sedikit sebanyak mengimbau kisah lama sebermula kami berada di dalam kasut sahabat semua sebagai pelajar yang baru hendak belajar berjinak-jinak di alam IPT yang penuh dengan cabaran, mehnah dan kisah baru untuk dicoret di dalam sejarah hidup kita semua.

Suasana pembelajaran tamhidi adalah suasana pembelajaran baru yang memerlukan adaptasi atau penyesuaian diri yang pantas daripada sahabat semua, apatah lagi dalam zaman tamhidi ini, anda perlu mencatatkan keputusan CGPA yang cemerlang bagi melanjutkan pelajaran ke bidang yang anda inginkan di peringkat sarjana muda. Saya mencadangkan agar sahabat semua terus sahaja lakukan pecutan saat bermulanya kuliah pengajian, kerana jadual tamhidi sememangnya agak padat dan sarat dengan banyak perkara yang perlu diketengahkan dalam tempoh yang agak singkat iaitu setahun. Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang mahu melanjutkan pengajian ke bidang perubatan dan pergigian, ramai dari kalangan pelajar tamhidi di zaman kami, terpaksa mengikuti pengajian di bidang yang bukan pilihan mereka kerana CGPA mereka yang kurang memuaskan. Walau apapun, Insyaallah tidak sukar untuk memperoleh keputusan cemerlang jika kita berusaha seoptimum mungkin, bukankah Allah cintakan sedemikian?
إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحُدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ 
“Allah sangat suka kepada hambaNya yang apabila melakukan pekerjaan, dikerjakan secara bersungguh-sungguh dan berkualiti”.(Riwayat Tabrani)
Setiap permulaan sesuatu, niatlah yang menjadi tunjang utamanya, niatkan pembelajaran kita ikhlas kerana Allah, agar tidak mudah kita terjebak dengan perkara-perkara yang melalaikan kita Berada dalam alam kampus dan anda sebagai pencoraknya, jika niat yang tidak suci, mudah sahaja kita dapati mahasiswa tamhidi terpesong semangat mereka, sehingga timbul beberapa gejala sosial yang tidak diingini. Setakat ini, Alhamdulillah, Suasana yang soleh di USIM adalah bermanfaat bagi pembelajaran yang berkesan. Apatah lagi kita sebagai mahasiswa islam, bukan sahaja akal yang cerdas menjadi penentu kecemerlangan, tetapi juga akhlak yang mulia dan ibadah yang shohih agar ilmu-ilmu yang bakal dikutip, berisi berkat yang akan kekal berguna sehingga ke akhir hayat. 

Kecerdikan yang kita ada semuanya adalah kerana Allah yang menganugerahkannya kepada kita. Kita tidak mahu, kita menjadi ibarat seorang cerdik dalam ilmu agama yang diceritakan di dalam  Hadith Qudsi, riwayat Ahmad dan An-Nasaie, ketika ditanya oleh Allah, kemanakah perginya nikmat kecerdikan yang diberikan kepada si cerdik tersebut, lantas si cerdik itu menjawab, “Aku telah mempelajari ilmu dan mengajarkannya (kepada orang lain). Aku telah membaca Al-Quran semata-mata kerana-Mu” maka apa jawab Allah? Allah SWT berfirman kepadanya : ‘Kamu berdusta. kamu telah mempelajari ilmu supaya kamu dipanggil sebagai seorang ‘alim dan kamu telah membaca Al-Quran supaya dipanggil seorang qari. Sesungguhnya kamu telahpun dipanggil sedemikian( ‘alim dan qari). Kemudian Allah SWT telah memerintahkan kepada malaikat agar si cerdik itu dibawa pergi dan diheret dengan mukanya ke bawah hinggalah beliau dicampakkan ke dalam api neraka. Allah maha mengetahui niat kita, dan niat yang suci itu tempatnya hati yang bersih, hati yang bersih tidak dapat tidak memerlukan ibadah sebagai penggilapnya,agar kekal bersinar menarik tawfeeq dan hidayah Allah, supaya ia sentiasa dihijaukan iman sebagai benteng melawan nafsu dan hasutan syaitan.
Niat yang baik, usaha yang gigih, tawakal yang tulen untuk Allah dan doa yang berterusan dalam keadaan kita sentiasa bersangka baik pada Allah, bertepatan dengan apa yang Allah firmankan di dalam kalamNYA,
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
"Dan Tuhanmu berfirman: ""Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina" (Ghafir :60)
Kepada ibubapa yang mengiringi, sesungguhnya doa dan mutiara kata semangat dari ibubapalah yang akan menjadi pembakar semangat kepada mahasiswa khususnya mahasiswa tamhidi, tahniah saya ucapkan kerana anak tuan dan puan berjaya ke peringkat pengajian yang lebih tinggi ini. Mungkin bagi yang pertama kali mahu berpisah, perasaan risau mudah datang menjengah, begitulah norma ibubapa yang sayangkan anak-anak mereka. Justeru, limpahan perasaan risau itu pasti berguna saat bermunajat kepada Yang Maha Esa, moga-moga, ada keberkatan dan mudah anak-anak tuan puan menerima ilmu sepanjang menuntut di USIM ini.

Akhir kalam, Saya mewakili saff kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2011/2012 ini, dengan penuh rasa hormat mengucapkan selamat datang, ahlan wasahlan wamarhaban bikum kepada semua adik-adik tamhidi, yang bakal menjejakkan kaki ke alam universiti, bagi meneruskan lagi derap perjuangan mengutip mutiara ilmu di bumi bertuah ini. Tahniah kerana anda terpilih untuk meneruskan pengajian di bumi USIM. Sesungguhnya, anda semua adalah golongan yang dipilih khas oleh Allah untuk menaikkan nama  universiti  yang dimuliakan namanya dengan nama Islam ini, sekaligus bersama-sama memakmurkan kalimah Allah yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Jumpa lagi di puncak kejayaan!

Anas bin Rosedi
Mahasiswa Tahun 4 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan merangkap Naib yang dipertua MPP USIM sesi 2011/2012

2 comments:

Aisyah Rosedi said...

mcm baca words from ayah la:')
thumbs up bro!may Allah bless

-Abdul Rahman Fauzi Al-Hafiz- said...

tahun 4 doh anas..tuo doh...;-)