Sunday, August 14, 2011

Allah nak kita masuk syurga..tapi kita?


"Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu" (hadith Qudsi Riwayat Al-Bukhari & Muslim) 


Alhamdulillah, kita bersyukur kerana masih dipertemukan dengan Ramadhan, dan sudah di penggal kedua kita kini berada, entah bagaimana agaknya prestasi kita sepanjang Ramadhan ini, jom muhasabah sat..


Manusia sememanngnya diciptakan dengan dua unsur di dalam dirinya, unsur fitrah yang membawa kepada agama dan kebaikan dan unsur nafsu yang membawa kepada kehancuran, menjauhi perintah Allah dan sebagainya.dua sifat yang sering bertelagah, siapakah yang lebih mampu menguasai diri ini, yang lebih kuat pastilah akan berkuasa. Nafsu sepertimana yang kita tahu, akan kuat bila tidak dididik, bila diri ini terpesona melakukan dosa dan kurang melakukan amal. Namun begitu, kita melihat, betapa pemurahnya Allah yang senantiasa bersedia mengampunkan dosa kita, agar kita sentiasa akan kembali pada fitrah kita..sifat pemaaf dan pemurah yang tidak mungkin ada pada makhluk, bayangkan, jika seorang ayah dan seorang anak, tatkala si anak senantiasa berbuat salah kepada ayahnya, mungkin ayahnya boleh memaafkan jika sekali dua, tetapi jika berulang-ulang kesalahan yang sama dibuat, terus menerus, mampukah si ayah memberi maaf lagi pada anaknya? 


Tetapi Allah begitu pemurah memberi kita peluang untuk bertaubat dan memohon ampun, bagi membersihkan najis dosa yang terpalit pada diri kita. Lantas mungkin terbit persoalan, mengapakah Allah begitu pemurah mengampunkan hambanya? itulah menandakan Allah mahukan kita masuk kedalam syurga.


Syurga Allah itu mahal harganya, bak kata Sheikh Ustaz Zainol Asri, antara syarat masuk syurga ialah kita ada pahala yang banyak dan kosong dosa. kita sebagai muslim, insyaallah, syurga itu mampu kita masuk, cuma persoalannya, adakah transit kita untuk ke neraka sebentar sebelum ke syurga? untuk membersihkan dosa-dosa kita? begitulah bagi orang mukmin yang faasiq, neraka menjadi tempat sterilization dari kuman-kuman dosa, agar kita suci bersih tatkala masuk ke syurga.

Namun, mungkin juga kita masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya selama-lamanya, kerana gugur syahadah, bila di dunia, kita mempersenda hukum Allah, mensyirikkan Allah, bahkan menidakkan yang halal dan mengiyakan yang haram. Iyadzubillah...

Benarlah lisan nabi s.a.w,
"Semua ummatku layak masuk syurga kecuali mereka yang sengaja enggan masuk syurga." Sahabat bertanya : "Siapakah yang enggan masuk syurga itu ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw : "Sesiapa yang taat kepadaku layak masuk syurga dan sesiapa yang menderhakaiku maka sesungguhnya ia lah orang yang enggan masuk syurga."(HR Bukhari)

Maha pengasih Allah..masih tetap menyayangi hambanya, sayangnya Allah kalau boleh tidak mahu kita masuk ke dalam neraka, maka di dunia, Allah mempermudahkan segala cara kita untuk menghapuskan dosa-dosa kita. sedeqah kita, zakat kita, senyum kita, solat sunat kita, solat berjamaah, langkah-langkah ke masjid, bacaan quran, wudhuk, jihad perjuangan kita, segalanya menjadi kaffarah bagi kita. agar kita bersih dan layak menjadi tetamu syurga Allah s.w.t.

makanya, Ramadhan, sewajarnya dijadikan medan untuk menyucikan diri kita sesuci-sucinya, kerana ia bukan sahaja bulan tarbiyyah kita memperoleh kawalan diri, tetapi bulan hadiah, untuk kita berlumba -lumba memperoleh segala kebaikan bulan Ramadhan,

Pahalanya yang berlipat kali ganda,

"Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda...(HR Bukhari dan Muslim) 

dan Penyucian diri dan jiwa,

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala daripada ALLAH, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari & Muslim) 
Begitulah bukti betapa sayangnya Allah pada hambanya, diberikan kita Ramadhan untuk kita setiap tahun, membersihkan diri kita untuk layak memasuki syurga Allah, cuma persoalannya tinggal kita
adakah kita inginkan syurga? ataupun enggan untuk ke syurga?

"..Sesiapa yang menderhakaiku(Rasulullah s.a.w) maka sesungguhnya ia lah orang yang enggan masuk syurga."(HR Bukhari)"

Jom buat pecutan di penggal kedua dan ketiga ini! Allahul Musta'an

p/s: diinspirasikan oleh tazkirah tarawikh, Al-Fadhil  sheikh Ustaz Zainol Asri b. Hj Romli.