Tuesday, November 29, 2011

Simple Opinion about Criticising and Being Criticised

Kritikan itu sesuatu yang hampir sinonim dalam kehidupan manusia, setiap apa yang diusahakan manusia pasti mengundang kepada kritikan baik positif mahupun negatif. kerana kritikan itu jugalah manusia mampu bergerak ke hadapan, namun tak dinafikan ramai juga manusia yang berputus asa kerana tidak tahan atau menerima bulat-bulat kritikan yang dilontarkan.


Kritikan itu secara ringkas bolehlah dibahagikan kepada dua. 


Kritikan yang datang dari seorang kawan, atau kritikan yang datang dari seorang musuh. 


kritikan dari seorang kawan adalah selalunya kritikan yang membina, yang mengharapkan perubahan yang lebih baik untuk siapa yang dikritik. ia kritikan yang secara tersurat sudah boleh diambil kira kerana mesejnya sudah sampai yang mereka mahukan yang terbaik dari diri kita, dan mereka sentiasa memberi sokongan untuk kita maju ke hadapan. Jika tidak, masakan mereka mahu membazir masa memerhatikan kita dan menganalisa tindakan kita untuk kita kekalkan apa yang baik dan bergerak untuk memperbaiki kekurangan yang ada.


Kritikan dari lawan pula, selalunya berniat untuk menjatuhkan kita. kritikannya selalu berbaur negatif dan bersifat memburukkan kita seburuk-buruknya. kritikannya mahu memberi persepsi negatif. kritikannya hanya berniat mahu melemahkan kita dan memberi kelebihan kepada mereka. lantas, kritikan yang seperti inipun hakikatnya ada kebaikannya jika dilihat secara tersirat. kerana musuh akan sentiasa mencari kelemahan kita untuk diserang, dan dari situlah kita mengenalpasti kelemahan yang masih perlu kita tambahbaik. 


Caknanya musuh pada kelemahan kita, kita manfaatkan untuk menguatkan lagi kita bila berhadapan dengan mereka. 


Kritikan itu perlu dianalisa dengan sihat. Baik bagaimana pun cara ia dilontarkan, secara sopan mahupun biadap. Penerima kritikan yang baik pasti akan menukarkan setiap kritikan itu kepada satu peluang untuk mereka memperbaiki diri dan menambahbaik yang sedia ada. Budaya face-saving seharusnya dibuang jauh ketepi untuk seseorang individu itu memanfaatkan dan mengekstrak intipati suatu kritikan, baik secara tersurat mahupun tersirat. 


Yang baik diambil, yang buruk dibuang ketepi. 


Bahkan yang buruk itupun boleh diubahsuai untuk membawa kebaikan,  andai kita semakin proaktif dalam menggerakkan kemajuan dalam diri dan apa yang kita usahakan. Ibarat kata-kata Masyhur Saidina Ali " lihatlah apa yang dikata, bukan siapa yang berkata." Ini akhlak yang sepatutnya ada bagi seorang yang menerima kritikan. Ia menuntut jatidiri yang kental dan tidak lemah mentalnya bila mendapat kritikan.Marilah kita membina diri kita untuk menjadi manusia yang seperti itu. 


Pengkritik pula bagaimana? 


Anda ada dua pilihan, samada anda mahu berakhlak seperti kawan, atau mahu berakhlak seperti musuh. anda boleh memilih yang mana satu anda mahukan. Cuma, jangan salahkan orang yang dikritik bila melayan anda seperti musuh, kerana anda yang mencerminkan diri anda sebagai musuh di hadapan orang yang anda kritik. Jika mahu dilayan seperti seorang kawan, berakhlaklah sebagai seorang kawan, kritiklah dengan nada seorang teman.


p/s: Malas nak letak cerita banyak, rujuklah cerita-cerita contoh dalam buku how to win friends and influence people karya dale carnegie dan the art of thinking karya vincent ryan ruggiero, lebih cantik, bukalah kitab sirah, bagaimana perjanjian hudaybiyyah menyumbang kepada fathu makkah

No comments: